Artikel

i-Lindung KWSP Ingin Rakyat Malaysia Miliki Dana Tambahan Biayai Kos Perubatan

Malaysia dalam beberapa tahun mendatang, dijangka lebih pantas menjadi masyarakat ‘tua’ – di mana menjelang tahun 2045, negara akan memperlihatkan peningkatan usia penduduk daripada masyarakat menua kepada masyarakat tua dalam tempoh 25 tahun. Iaitu nisbah 1 dalam 7 penduduk di Malaysia adalah mereka yang berusia 65 tahun ke atas.

Maka bertepatan persediaan ke arah itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini tampil dengan pelan perlindungan premium iaitu i-Lindung kepada warga pencarum.

i-Lindung adalah platform pelan perlindungan insurans di bawah i-Akaun KWSP. Ini bermakna, ia memberi kemudahan kepada para pencarum untuk melaksanakan pembelian produk pelan perlindungan insurans yang diluluskan oleh KWSP. Menerusi kemudahan ini, ia membenarkan pencarum melakukan pengeluaran pada Akaun 2 bagi pembelian produk insurans dan takaful.

Penawaran pelan perlindungan selama 1 tahun ini bagaimanapun hanya tersedia kepada para pencarum yang memiliki baki mencukupi dalam Akaun 2 dan untuk pencarum tempatan sahaja.

KWSP melihat penawaran ini tidak sekadar memperkasakan perlindungan para pencarum dalam segmen perubatan tetapi turut membantu negara meningkatkan kesedaran kepentingan insurans dalam simpanan pekerja tempatan.

Untuk makluman, tinjauan National Heatlh dan Morbidity memaparkan hampir separuh rakyat negara tidak memiliki simpanan tambahan untuk menampung kos perubatan – oleh itu untuk persediaan lanjut para pencarum boleh layari pautan i-Lindung KWSP untuk penjelasan terperinci.