Sekiranya anda antara kumpulan pekerja Lembah Klang, sudah pasti dalam 5 hari seminggu – anda akan habiskan 8 jam untuk tempoh bertugas sahaja, tetapi tanpa sedar dalam tempoh tersebut kita kehilangan sekitar 2 jam hanya untuk perjalanan pergi-pulang bekerja sahaja.
Tinjauan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran Fakulti Sains Gunaan UiTM pada laporan HarianMetro mendapati setiap hari pekerja Malaysia terpaksa meluangkan masa sehingga 2 jam di dalam kenderaan.
Maka secara puratanya, pekerja Malaysia setiap sebulan menghabiskan 44 jam di dalam kenderaan hanya untuk mengharungi kesesakan trafik ke tempat kerja.
Mengikut pengamatan itu, bagi pekerja yang menerima gaji anggaran RM7 sejam – akan mengalami kerugian produktiviti dianggarkan sekitar RM308, disebabkan masa terbuang ketika perjalanan.
Kesulitan yang didepani pekerja Lembah Klang ini didorong atas ketidaktentuan cuaca semasa dan ketidakseimbangan kualiti sistem pengangkutan awam negara yang mengakibatkan para pekerja lebih selesa membawa kenderaan persendirian.
Meskipun pentadbiran negara pada 16 Jun lalu telah menawarkan perkhidmatan pengangkutan awam percuma selama sebulan – ia dilihat tidak memberi kesan yang besar kepada para pekerja. Khususnya kepada golongan M40. Ini kerana walaupun perbelanjaan pengangkutan telah ditampung, namun sistem pengangkutan yang tidak efisien sekadar meningkatkan lagi kerugian masa perjalanan bekerja mereka.
Situasi ini tidak sekadar merugikan pekerja tetapi turut merugikan majikan – susulan produktiviti pekerja turut akan terjejas.