Setelah cukai barang dan perkhidmatan (GST) digantung pada Jun 2018, Malaysia mula beralih kepada penggunaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan langkah itu telah membawa kerugian sekitar RM20 bilion kepada kerajaan negara.
Kerugian itu telah disuarakan sendiri oleh Perdana Menteri Ismail Sabri pada akhir Mei lalu dan memberi gambaran seolah-olah terdapat kemungkinan penggunaan GST semula, bagi tujuan mempelbagaikan semula pendapatan kerajaan.
Akan tetapi tinjauan firma penyelidikan CGS-CIMB melihat gambaran itu hanya sekadar potensi sahaja. Ini kerana pada kenyataan pra-Bajet 2023 minggu lalu oleh Kementerian Kewangan – memberi penekanan untuk mengfokuskan kepada subsidi bersasar buat rakyat Malaysia dan tiada sebarang prospek GST dikeluarkan.
Meskipun perincian draf Bajet 2023 masih diperingkat awal, ini secara langsung menunjukkan kemungkinan penerapan GST adalah lebih kecil berbanding SST. Namun pelbagai tindakan dilihat wajar diketengahkan untuk menutup jurang fiskal yang wujud disebabkan SST.
Buat pengetahuan umum, ketika pelaksanaan GST dilakukan sekitar RM41 bilion berjaya dicapai negara pada data 2017. Ia susulan pengenaan cukai secara berperingkat dikenakan kepada rantaian jualan, tidak hanya pengguna bahkan peruncit dan pengilang turut perlu memenuhi tuntutan cukai.