AirAsia kini dimaklumkan akan memberi penjelasan lanjut berhubung isu kelewatan penerbangannya dalam tempoh 24 jam.
Makluman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Negeri (KPDNHEP) ini adalah kesinambungan kepada pemantauan mereka berhubung perolehan rungutan pengguna terhadap isu yang berlaku.
Menurut Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP melalui laman rasmi facebooknya – pihaknya tidak akan sekadar ‘sembang kari’, cakap tak serupa bikin atau sekadar berpeluk tubuh sahaja tetapi akan secara berterusan mendapatkan penyelesaian berhubung isu pengguna.
Untuk makluman KPDNHEP telah melaksanakan libat urus awal bersama AirAsia yang merangkumi isu penangguhan jadual penerbangan, semakan semula jadual penerbangan sehingga menjangkau lebih 6 jam. Turut dibangkitkan kelayakan pengguna mendapatkan pampasan sekiranya mengalami kelewatan penerbangan sebegini.
Maka bagi memudahkan pemahaman pengguna, KPDNHEP telah meminta AirAsia untuk menyediakan carta aliran mengenai proses memfailkan aduan rasmi bagi mendapatkan pampasan (tertakluk kepada garis panduan ditetapkan MAVCOM sebagai agensi kawal selia dalam isu ini).
Meskipun perihal mengenai industri penerbangan banyak tertakluk kepada bidang kuasa MOT, tetapi KPDNHEP akan turut serta mendekati AirAsia untuk memastikan hak terjamin. Susulan itu, KPDNHEP kini menggesa supaya MOT dan MAVCOM menjadi lebih proaktif serta tampil untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung isu ini demi kesejahteraan pengguna.