Artikel

PayHalal, Atome Sedia Akses – Beli Dahulu Bayar Kemudian Secara Patuh Syariah

Arena BNPL, Beli Dahulu Bayar Kemudian kini terus rancak menerajui penawaran pinjaman wang kepada pengguna bagi memudahkan akses pembelian barangan mereka. Ketika ini kemudahan itu mula disediakan oleh PayHalal bersama Atome – dengan jaminan tawaran tersebut adalah berlandaskan patuh syariah buat pengguna iaitu Beli Sekarang Bayar Kemudian Murabaha (iBNPL).

Apa itu Murabaha? – ia dirujuk sebagai pembiayaan kos nilai ditambah, merangkumi struktur pembiayaan Islam di mana penjual dan pembeli bersetuju dengan kos dan penambahan aset tertentu. Sekiranya berlaku peningkatan, ia dikira tidak sah disisi perundangan Islam.

Maka, erti kata mudah ia bukanlah pinjaman yang dikenakan faedah tetapi berupa dalam bentuk penjualan kredit yang diterima dalam perundangan kewangan.

Mengikut perkongsian, pengguna Atome akan memiliki manfaat faedah 0% tanpa riba dengan had perbelanjaan maksimum sehingga RM5,000. Tidak hanya pengguna, sekitar 786 peniaga terawal pada fasa pertama akses akan menerima kelebihan nikmati yuran pendaftaran bersama PayHalal di paras sifar.

PayHalal dan Atome melihat inisiatif tidak sekadar meningkatkan pendapatan peniaga namun turut memperkasakan aliran pengguna pada platform atas talian serta gerai fizikal.

Kedua pihak juga turut menjangkakan, permintaan pembayaran Islam digital akan terus meningkat dan meramalkan arena ini berpotensi capai pemprosesan bayaran sekitar RM8.61 bilion. Sementara hasil pula mencatatkan pulangan sejumlah RM135 juta  menjelang 2023.

Untuk makluman umum, aturan ini telah mula diperkenalkan sejak Oktober 2021 dan dikhabarkan setelah Malaysia, ciri ini akan diperluaskan pada pasaran Indonesia kelak.