Artikel

PayHalal, Atome – Atur Kerjasama Menawarkan Segmen ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian Murabaha’

Seiring dengan konsep PayHalal iaitu pembayaran tanpa was-was, kini pihaknya mengatur kerjasama dengan Atome untuk penyediaan segmen Beli Sekarang Bayar Kemudian Murabaha (iBNPL) kepada pembeli.

Penawaran sedemikian jelas memberi pilihan kepada pengguna, untuk melakukan pembayaran secara ansuran tanpa perlu melunaskan sesuatu amaun yang tinggi dalam satu masa.

Apa itu Murabaha? – ia dirujuk sebagai pembiayaan kos nilai ditambah, merangkumi struktur pembiayaan Islam di mana penjual dan pembeli bersetuju dengan kos dan penambahan aset tertentu. Sekiranya berlaku peningkatan, ia dikira tidak sah disisi perundangan Islam.

Maka, erti kata mudah ia bukanlah pinjaman yang dikenakan faedah tetapi berupa dalam bentuk penjualan kredit yang diterima dalam perundangan kewangan.

Oleh itu, melalui pengenalan segmen ini PayHalal dan Atome menyasarkan usaha tersebut dapat membuka ruang kepada peniaga serta pengguna Muslim untuk menerokai pengalaman dalam kaedah pembayaran BNPL.

Ini secara tidak langsung memberi keyakinan kepada semua pengguna untuk menggunakan pelbagai kaedah pembayaran tanpa was-was. Untuk makluman, setelah aturan ini dilaksanakan di Malaysia – PayHalal akan mula perluaskan ia kepada pasaran Indonesia kelak.