Artikel

Jepun Rancang Tingkatkan Populasi – Tampung 70% Kos Rawatan IVF Kepada Penduduk

Bermula hari ini (1 April), insurans kesihatan awam Jepun akan menampung semula 70% kos rawatan penduduk negara mereka yang menerima khidmat kesuburan IVF iaitu In Vitro Fertilization.

Usaha ini bertujuan untuk menangani isu penurunan kadar kelahiran dan penuaan yang sedang berlaku dalam kalangan rakyat Jepun. Untuk makluman, berdasarkan kos semasa, rawatan ini menelan perbelanjaan lebih 500,000 yen iaitu bersamaan lebih RM17,247.

Amaun itu secara jelas menunjukkan kos rawatan adalah melebihi pendapatan bulanan purata isi rumah rakyat. Namun, melalui pulangan 70% kos rawatan ia secara langsung membantu, menggalakkan rakyat Jepun menerima khidmat IVF tersebut.

Akan tetapi mengikut laporan Bloomberg, sistem kesihatan swasta Jepun melihat – meskipun terdapat pulangan kos yang tinggi, penduduknya masih berdepan dengan pelbagai kos tersembunyi seperti prosedur pemeriksaan genetik dan prosedur melibatkan penderma.

Berdasarkan data 2019, setakat ini sekitar 7% bayi di Jepun adalah hasil rawatan IVF. Maka pentadbiran negara itu kini disarankan untuk terus pelbagaikan inisiatif ekonomi bagi membantu pertumbuhan negara.

Melihat apa yang sedang berlaku di Jepun, ternyata isu masyarakat tua turut sedang didepani Malaysia. Buat pengetahuan umum, sejak 2020 Malaysia telah mencapai taraf ‘masyarakat menua‘, merangkumi 2.3 juta penduduk daripada populasi menyeluruh Malaysia. Ini bermakna 1 dalam 14 penduduk negara adalah berusia 65 tahun ke atas.