Artikel

MyCC Pantau Kenaikan Harga Ayam, Telur – Dijangka Berlarutan Sehingga Aidilfitri

MyCC, Suruhanjaya Persaingan Malaysia memandang serius berhubung isu kenaikan harga yang dilaporkan oleh segelintir peniaga melibatkan perolehan ayam dan telur di pasaran.

Dijangkakan kenaikan harga ayam dan telur berpotensi mencapai lonjakan 10% dan situasi harga mahal ini disasar akan terus berlaku sehingga sambutan bulan Ramadan serta Aidilfitri kelak.

Pemantauan siasatan MyCC di bawah arahan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) ini telah mula digerakkan sejak awal Februari lalu. Setakat ini pihaknya telah melaksanakan aktiviti serbuan dan sesi soal-jawab bersama para peniaga selari mengikut Seksyen 41 Akta Persaingan 2010.

Meskipun tiada perincian lanjut, sekiranya dilihat data awal Januari 2022 oleh DOSM – menunjukkan kenaikan Indeks Harga Pengguna (IHP) iaitu inflasi terus berlaku di beberapa buah negeri. Antaranya Selangor (2.9%) Putrajaya (2.9%), Terengganu (2.7%), Perak (2.5%), Kelantan (2.4%), Kedah (2.4%) dan Perlis (2.4%).

Kenaikan inflasi itu didorong tidak hanya kekurangan bekalan ayam dan telur sahaja tetapi turut meliputi peningkatan kos pada bekalan daging, ikan serta harga sayuran.

Maka untuk meluaskan lagi semakan, para peniaga dan pengguna yang ingin berkongsikan maklumat boleh emel pada pautan [email protected] atau hubungi talian rasmi 03-22732277.