Artikel

Sekitar 2.4 Bilion Wanita Di Seluruh Dunia, Tidak Memiliki Hak Ekonomi Sama Seperti Lelaki

Walaupun Hari Wanita telah diraikan sejak tahun 1911 lagi, namun jurang penyertaannya dalam ekonomi global kekal jauh ketinggalan.

Tinjauan Bank Dunia pada Women, Business and Law 2022 dapati sekitar 2.4 bilion wanita di seluruh dunia tidak memiliki kesamarataan dalam peluang ekonomi negara. Pemerhatian itu merangkumi 178 buah negara meliputi aspek tinjauan pekerjaan, paras gaji, kadar penyertaan ekonomi, aset, perkahwinan dan simpanan persaraan.

Mengikut data, Malaysia antara negara yang mengalami jurang indeks gender yang tinggi dengan mencatatkan 0.709 mata. Negara kekal rendah pada paras skor dunia yang menuntut catatan 1.0 mata (100%) dalam Indeks Jurang Gender Dunia.

Maka untuk memperkasakan penglibatan wanita di Malaysia, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 kini menyasarkan 59% penyertaan wanita akan berlaku dalam ekonomi negara menjelang 2025 kelak.

Namun tindakan ini perlu mendapat sokongan dan dorongan institusi keluarga serta bahagian pendidikan.

Kenyataan ini turut diakui Ketua Ekonomi Bank Dunia, Carmen Reinhart – meskipun perundangan dan polisi negara perlu diubah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam ekonomi, tetapi tindakan sivik juga perlu dibentuk dalam institusi keluarga dan pendidikan.

Buat pengetahuan umum, meskipun pendidikan Malaysia memberi peluang terbuka kepada lelaki dan wanita – akan tetapi permintaan pasaran kerja jelas tinggi untuk pekerja lelaki.

Data DOSM setakat 2020, seramai 106,900 penganggur siswazah wanita dicatatkan berbanding 95,500 penganggur siswazah lelaki yang dicatatkan. Melihat pada rekod itu, dijangka angka pengangguran wanita akan lebih tinggi dalam tempoh 2 tahun ini.