Artikel

AirAsia “U-Turn” – Tiada Caj Daftar Masuk Melalui Kaunter Akan Dikenakan Mulai 1 April 2022

Pada awal minggu ini, Rnggt telah melaporkan yang mana AirAsia melakukan perubahan pada laman sokongan, memperlihatkan akan mengenakan caj sebanyak RM100 untuk daftar masuk melalui kaunter di lapangan terbang.

Namun, perkara berkenaan tidak digemari dan menerima kritikan ramai.

Lanjutan daripadanya, kini AirAsia mengumumkan beberapa perubahan. Kini, laman sokongan memaparkan caj sedia ada kembali dan tidak menyatakan akan melakukan perubahan. Ini bermakna, pengguna akan kekal perlu membayar RM20 untuk daftar masuk bagi penerbangan domestik di kaunter, dan RM30 untuk penerbangan antarabangsa. Ia dilihat tiada peningkatan harga akan dilakukan pada bulan Mac.

Pada masa yang sama, AirAsia turut berkongsi mengatakan tiada caj daftar masuk melalui kaunter akan dikenakan mulai 1 April 2022 kerana hanya tetamu yang layak dalam kategori berikut akan diterima di kaunter:
• Warga emas berusia 70 tahun ke atas
• Tempahan oleh Angkatan Tentera Malaysia dan melalui Waran Kerajaan
• Tetamu penerbangan sewa khas
• Tetamu kurang upaya yang memegang kad OKU yang sah
• Tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih
• Tetamu perseorangan bawah umur (12-16 tahun)
• Tetamu yang terjejas akibat perubahan jadual dan pembatalan penerbangan
• Tetamu yang terjejas akibat gangguan sistem airasia Super App, laman web atau kiosk
• Tetamu yang tidak diberikan tempat duduk semasa daftar masuk kendiri
• Tetamu Corporate Full Flex dan Premium Flex

AirAsia Checkin

Pelanggan AirAsia diminta untuk melakukan daftar masuk menggunakan aplikasi, laman web atau kiosk – dan mengelak membayar caj untuk daftar masuk kaunter.

Selari dengan perubahan ini juga, AirAsia akan mengehadkan operasi daftar masuk melalui kaunter di Malaysia bermula 1 April 2022, untuk percepatkan penggunaan perkhidmatan daftaar masuk kendiri.

AirAsia turut mengatakan kini 95% tetamu AirAsia melakukan daftar masuk kendiri melalui aplikasi dan juga laman web.