Artikel

AirAsia Jadikan Cabaran Sebagai Peluang – Daripada Penerbangan Ke Digital

Setiap perniagaan pasti memiliki risikonya tersendiri dalam menjamin kedudukan mereka pada pasaran negara, begitu juga dengan AirAsia yang terpaksa berdepan pelbagai bebanan kerugian, hutang serta terbaharu disenaraikan sebagai PN17 oleh Bursa Malaysia.

Aireen Omar, Presiden AirAsia Digital pada MyFintech Week sesi keempat hari ini (27 Januari) berkongsikan bagaimana AirAsia menjadikan cabaran sedemikian sebagai satu peluang untuk mereka membina ekosistem perniagaan ke arah yang lebih meluas.

AirAsia mula memiliki keuntungan bermula pada tahun 2002, setelah Tony Fernandes memilikinya dengan nilai RM1 – sejak itu kumpulan hanya tertumpu kepada segmen penerbangan sahaja. Akan tetapi pertumbuhan AirAsia mula mengalami kepelbagaian pada tahun 2015 dengan pengenalan Santan dan beberapa khidmat lain.

Akan tetapi, perubahan secara drastik ke arah digital mula diperlihat ketika negara sedang berdepan pandemik COVID-19 – di mana pada September 2020, AirAsia mula memperkenalkan AirAsia Digital yang menawarkan pelbagai rangkaian digital kepada pengguna.

Antara perkhidmatanya meliputi pelancongan, e-dagang dan kewangan.

Menurut Tony pada ketika itu – inisiatif ini bukanlah rancangan sandaran yang hanya dilaksanakan disebabkan COVID-19, namun ia peluang yang baik untuk dipenuhi oleh AirAsia tatkala dunia mula menerapkan konsep norma baharu.

Pada penjelasan itu, Aireen memperincikan perniagaan semasa harus menjadikan halangan sebagai peluang kepada pemulihan semula dengan mempelbagaikan kemahiran, membangunkan semula komuniti operasi, beri galakan kepada petugas dan bersedia untuk beralih kepada penawaran khidmat baharu.