Artikel

Carousell Dalam Rundingan SPAC Bernilai $1.5 Bilion, Bersama L Catterton

Carousell, penyedia aplikasi jual-beli barangan pengguna milik Singapura kini dilaporkan dalam perancangan pengabungan bersama Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC).

Dan syarikat yang terlibat adalah L Catterton Asia Acquisition iaitu firma yang dimiliki bersama oleh syarikat barangan mewah – LVMH bersama jutawan pelaburan Bernard Arnault.

Hasrat untuk ke penyenaraian awam Amerika Syarikat (AS) ini telahpun diumumkan Carousell sejak Julai 2021 lagi, berdasarkan perancangan tindakan ini membolehkan nilai syarikat cecah AS$1.5 bilion.

Mengikut laporan juga, perancangan SPAC tersebut akan berlaku dalam beberapa minggu mendatang, di mana akan melibatkan kesepakatan merangkumi pelaburan swasta dalam ekuiti awam.

Bagaimanapun, kedua-dua wakil masih tidak memberi sebarang ulasan berhubung laporan yang diperkatakan.

Setakat ini, entiti milik Korea Selatan – Naver telah melabur AS$80 juta di Carousell. Ini menjadikan jumlah penilaian Carousell mencecah AS$1.22 bilion. Setakat ini, Carousell disokong oleh Telenor Group, Rakuten Ventures, Naver, Sequoia Capital dan Naspers.

Seperti yang umum ketahui – aliran gabungan bersama SPAC telah memaparkan peningkatan dalam kalangan entiti teknologi. Sebelum ini, Grab bersama Altimeter telah mengumumkan langkah gabungan, diikuti Carsome dan Tiket.com.