Bagi meningkatkan kapasiti tenaga bantuan berhubung bencana banjir yang sedang melanda di negara ketika ini, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini merancang mengerakkan 20 dron untuk membantu agihan barangan keperluan kepada mangsa banjir.
Buat pengetahuan umum, pengaturan dron ini melibatkan penyertaan 5 syarikat swasta dan ia berupaya membawa bekalan berat sehingga lebih 10 kilogram. Antara barangan keperluan yang akan diagihkan adalah meliputi barangan asas seperti makanan dan ubat-ubatan.
Tidak hanya itu, pengaktifan gerakan dron turut berperanan membantu pihak berkuasa memantau dan mencari mangsa banjir yang terperangkap.
Namun, setakat ini pihak MOSTI masih menanti kelulusan CAAM – Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia untuk meneruskan pelaksanaan tersebut. Orang awam perlu sedari, bagi sebarang penerbangan dron memerlukan kelulusan CAAM, ia tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016).