Artikel

CAAM: Jangan Terbangkan Dron Tanpa Kelulusan Kami

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melarang orang ramai dari menerbangkan dron untuk apa-apa tujuan tanpa kelulusan daripada mereka terlebih dahulu.

CAAM berkata, orang ramai perlu mematuhi Peraturan 140-144.

Ini terdapat dalam Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 (MCAR 2016).

Semua operator dron adalah dikehendaki untuk memperolehi kebenaran daripada pihak CAAM terlebih dahulu sebelum menerbangkan dron.

CAAM ingin menegaskan bahawa mana-mana pengoperasian Kapal Udara Tanpa Pemandu (UAS) yang dijalankan tanpa kebenaran CAAM boleh membahayakan pengguna ruang udara.

Justeru itu, CAAM ingin menyarankan supaya operator dron untuk mengemukakan permohonan kebenaran untuk mengoperasikan UAS/dron kepada CAAM dengan menggunakan borang yang boleh dimuat turun melalui laman web rasmi CAAM.