Artikel

Malaysia Sasar Basmi Kemiskinan Tegar Menjelang Tahun 2025

Seperti yang umum sedia maklum, kerajaan persekutuan pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 akhir September lalu – telah menggariskan beberapa tumpuan, dan antaranya adalah sasaran membasmikan kemiskinan tegar di Malaysia.

Melalui peruntukan berjumlah RM1 bilion, yang akan dilaksanakan pada Februari 2022 untuk beberapa lokaliti terpilih – kerajaan turut menegaskan ingin menghapuskan kategori ini menjelang 2025.

Untuk pelaksanaan tersebut, pentadbiran negara akan mengambilkira pandangan Bank Dunia berhubung landskap kemiskinan negara. Difahamkan beberapa kerjasama dengan kerajaan negeri, sektor swasta akan diatur untuk pembasmian kemiskinan tegar Malaysia.

Penghapusan kategori turut dimaklumkan akan menggunakan strategi yang berbeza mengikut kesesuaian ciri lokasi negeri yang terlibat. Setakat ini, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) sedang menyelaras usaha untuk memperkasakan pendapatan golongan miskin tegar.

Untuk makluman – Miskin Tegar merujuk kepada golongan dan individu yang memiliki pendapatan kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) RM500 serta pendapatan per kapita RM100. Golongan ini juga turut merangkumi golongan rentan seperti kelainan upaya (OKU), warga emas, belia dan wanita.