Artikel

Penyelarasan Dasar Negara, Berupaya Bantu Rakyat Depani Kemelut Ekonomi

Dasar sesebuah negara wajar diperkasakan dan diseimbangkan, demi kelangsungan pertumbuhan ekonomi. Insitut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada pelancaran buku COVID-19 and the Structural Crises of Our Time memberi penjelasan, komponen tersebut harus dipertingkatkan pentadbiran negara untuk kepentingan rakyat Malaysia.

Pasti ramai yang alpa dan tidak sedar bahawa kadar hutang isi rumah Malaysia telah mencecah 93.3% sejak April 2021. Peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ini jelas amat tinggi. Namun ini dilema yang sedang berlaku.

Di mana, kuasa beli pengguna semakin rendah susulan kenaikan harga dalam barangan keperluan. Maka untuk merancakkan aliran perbelanjaan, orang awam harus memiliki akses tunai dan pinjaman.

Melalui bantuan tunai yang berskala kecil, ia menuntut akses pinjaman yang lebih besar. Meskipun melalui dana pinjaman berupaya meningkatkan aliran perbelanjaan, ia juga turut melebarkan lagi kadar hutang isi rumah di Malaysia.

Susulan pada laporan, ketirisan yang berlaku dalam penyelarasan dasar dan sistem kewangan negara harus diteliti kembali. Keseimbangan pada kedua-dua komponen ini, penting untuk Malaysia bagi sasaran pemulihan.

Antara usul yang dapat menyokong keseimbangan ini adalah meningkatkan kesepakatan perdagangan antarabangsa dan serantau. Langkah ini secara langsung membantu negara meneroka potensi pelaburan.