Artikel

Kos Asas Memiliki Anak Di Asia Tenggara Kini Meningkat – Cecah Hampir RM5,000

Membina sebuah keluarga, bukanlah satu perancangan yang mudah buat setiap pasangan terutamanya melibatkan perkembangan anak-anak. Ia menuntut komitmen yang tinggi, dari aspek ekonomi dan simpanan jangka masa panjang.

Tahukah anda, tinjauan iPrice pada kos keperluan asas yang perlu dimiliki oleh setiap ibu bapa di Asia Tenggara adalah lebih $1,000? Sekiranya dilihat pada nilai Malaysia – ia bersamaan dengan nilai pendapatan kelas pertengahan M40 hampir mencecah RM5,000 peruntukan.

Untuk makluman, kos purata iPrice yang disimpulkan meliputi kos barangan asas kelahiran bayi. Iaitu barangan yang akan dibeli untuk penggunaan pertama kali sahaja – merangkumi nilai $1,148 (RM4,800) seperti carseat, stroller, permainan, katil bayi, bangku dan beberapa item yang lain.

Sementara, purata kos bulanan atau kos secara tetap seperti lampin, kain lap dan susu formula pula mencecah sekitar $32 (RM135). Ini membawa kepada purata nilai tanggungan asas kelahiran adalah $1,179. Buat pengetahuan umum, nilai kiraan ini tidak termasuk dengan barangan mandian atau keperluan asas yang lebih besar seperti khidmat kesihatan lanjutan.

Maka tidak hairanlah mengapa kadar kesuburan di negara Asia mula memaparkan penurunan dalam tempoh beberapa tahun ini. Berdasarkan data Oktober 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tahap Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) wanita di negara telah menurun sejak 2015 lagi.

Setakat 2020, bagi setiap 1,000 wanita hanya 1.7 anak dicatatkan. Ini secara langsung menjadikan data tahun lalu adalah paras paling terendah sejak 4 dekad lalu. Namun tidak hanya Malaysia, negara Asia lain seperti Filipina, Singapura, Thailand dan Indonesia turut memaparkan penurunan kesuburan.

Mampukah Ibu Bapa Yang Berpendapatan Rendah, Depani Kos Ini?

Persoalan ini terlalu subjektif untuk diperincikan. Ini kerana pelbagai aspek perlu diteliti antaranya;

  • Tahap gaji minimum sesebuah negara
  • Tanggungan isi rumah
  • Komitmen harian keluarga
  • Kos kecemasan
  • Ketersediaan pasangan untuk menyimpan dalam tempoh 8 bulan sebelum tibanya kelahiran

Bagi Malaysia dan Indonesia, kedua buah negara ini memiliki paras gaji minimum yang rendah tetapi masih ‘bernasib baik’, iaitu Malaysia sebulan $287 dan Indonesia sebulan $310. Jika mereka ingin melakukan simpanan 8 bulan, potongan sehingga 50% dapat dilakukan untuk simpanan anak.

Namun tidak bagi paras gaji minimum Filipina ($213/sebulan), Vietnam ($185/sebulan) – yang memerlukan mereka laksana potongan 69% dan 80% selama 8 bulan simpanan asas untuk anak. Pengiraan ini sesuatu yang mustahil untuk dilakukan tatkala berdepan bebanan tanggungjawab yang lain.

Berbeza dengan Singapura yang memiliki paras gaji minimum $1,031 sebulan – warga penduduknya hanya memerlukan 14% potongan untuk simpanan 8 bulan persediaan kelahiran anak mereka.

Krisis Ekonomi Tingkatkan Lagi Kadar Kebimbangan Ibu Bapa Di Malaysia – Untuk Memiliki Anak

Tanggungjawab memiliki anak ini adalah sangat dekat dengan tanggujawab dalam ekonomi. Kegagalan memenuhi peruntukan tertentu berupaya memberi kesan kepada masa hadapan keluarga dan perkembangan anak-anak.

Tambahan krisis dunia yang sedang berlaku ketika ini, terus meningkatkan tahap kegusaran ibu bapa berhubung pendapatan, kelangsungan pekerjaan, tekanan inflasi, risiko bankrap dan simpanan semasa.

Jika di Malaysia, kegusaran ini begitu ketara untuk kelas pendapatan pertengahan M40. Ini kerana kumpulan ini memiliki ruang bantuan yang sangat terhad, berbeza jika dibandingkan dengan B40 dan T20.

Umum perlu sedari, struktur agihan bantuan Malaysia sekadar berpaksi kepada kumpulan yang memiliki pendapatan di bawah PGK -Pendapatan Garis Kemiskinan. Sementara kelas T20 pula cenderung perolehi pelepasan pengecualian cukai bagi perbelanjaan termasuklah peruntukan melibatkan anak-anak.