Akhir November lalu, pentadbiran negara mula mengatur langkah mewujudkan pelaksanaan pembasmian kemiskinan tegar di negara. Bagi fasa awal sekitar 50 lokaliti akan dipilih.
Tumpuan lokasi ini didasari berasaskan kadar kemiskinan tegar tinggi mengikut negeri tanpa mengira etnik serta kedudukan bandar mahupun luar bandar.
Miskin tegar juga boleh termasuk dalam golongan rentan yang terdiri daripada wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), orang miskin dan belia.
Buat pengetahuan umum, projek yang berbekalkan peruntukan RM1 bilion ini, disasarkan bermula seawal tahun 2022 iaitu di antara Februari-Mac 2022. Malah setiap negeri turut dijangka akan diberi fokus sekitar 3 hingga 5 lokasi untuk membasmi kemiskinan tegar secara bersasar.
Bagaimanapun, agihan peruntukan tersebut akan mengalami perubahan berlandaskan kelulusan kerajaan Malaysia. Adanya usaha ini ia akan membantu Malaysia menghapuskan jurang kemiskinan dan mencapai matlamat negara untuk memiliki purata pendapatan isi rumah sekitar RM10,000 sebulan menjelang tahun 2025 kelak.