Artikel

Had Hutang Kerajaan Malaysia Berpotensi Dinaikkan – Kepada 70%

Pada pertengahan Oktober 2021, Malaysia melalui perbahasan Parlimen telah bersetuju menaikkan had statutori hutang negara kepada 65%.

Namun berdasarkan pengamatan firma penyelidikan Fitch Solutions di bawah tinjauan Risiko Negara – peratusan had hutang tersebut dilihat berpotensi meningkat kepada 70% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2023.

Ini susulan pelaksanaan pilihan raya umum (PRU) yang dijangka berlaku dalam tempoh tersebut.

Tidak hanya itu, kadar defisit fiskal pada tahun 2022 juga disasar catat paras 6.3% daripada KDNK, ia lebih tinggi berbanding tahun 2020.

Firma turut menyatakan kedudukan kewangan negara bagi jangka masa panjang dilihat mengecewakan susulan ketidaktentuan aliran politik – ia sukar membantu mengukuhkan fiskal Malaysia.

Bagaimanapun pihaknya masih optimis akan jangkaan hasil Malaysia bagi 2022 dengan pulangan RM234 bilion untuk pertumbuhan negara. Perkara itu dapat dicapai dan memerlukan pemantauan yang baik pada kesan COVID-19 ketika ini.

Risiko COVID-19 kekal wujud, meskipun agihan suntikan vaksinasi telah meluas pada penduduk negara.

Sebelum ini, persetujuan had hutang di paras 65% adalah bertujuan untuk beri ruang kepada pemulihan negara, menyokong pentadbiran meneruskan pembiayaan bantuan kepada rakyat dan ekosistem perniagaan Malaysia.