Artikel

ShopeePay Umum Penajaan Gerai Kepada Lebih 100 Peniaga Mikro B40

Seiring dengan inisiatif di bawah tagar #ShopeeGivesBack, ShopeePay kini memaklumkan pemberian tajaan gerai kepada lebih 100 peniaga mikro daripada kumpulan pendapatan B40.

Usaha ini bagi menampung kelangsungan perniagaan mereka susulan kehilangan sumber pendapatan disebabkan COVID-19. Adanya langkah tajaan sedemikian ia turut membantu peniaga memulihkan dan meringankan bebanan kos sedia ada.

Buat pengetahuan umum, penajaan gerai fizikal ini dilengkapi ruang penyimpanan, rak, bumbung akan diagihkan kepada lebih 100 peniaga bagi November ini.

Edaran gerai tersebut akan meliputi kerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu, Perak, Pulau Pinang, Sarawak serta Wilayah Persekutuan (WP).

Selain membantu merancakkan penyertaan peniaga dalam platform atas talian – Shopee turut akan menampilkan produk peniaga di bawah laman mikro pada aplikasi dan menyertakan baucar di bawah Deals Near Me yang membantu meningkatkan perbelanjaan serta beri pulangan tunai RM3 kepada pengguna.

Untuk makluman, ciri Deals Near Me adalah perkhidmatan berasaskan lokasi yang berkonsepkan online-to-offline (O2O) – di mana para pengusaha luar talian seperti kafe, restoran boleh menawarkan potongan diskaun dalam bentuk baucar ShopeePay untuk pelanggan yang berdekatan dengan lokasi mereka.