Penangguhan dan sekatan Malaysia sebelum ini, telah membantutkan strategi MyNews Holding untuk perluasan CU – iaitu kedai runcit milik jenama Korea Selatan (See You – Korean Style Convenience Store).
Adanya kelonggaran pembukaan ekonomi ketika ini, firma penyelidikan CGS-CIMB menyasarkan lebih banyak perancangan pembukaan cawangan CU dapat dilaksanakan – di bawah pengendalian MyCU Retail iaitu anak syarikat Mynews.
Untuk makluman, Mynews telah mengalami peningkatan kerugian kepada RM14.2 juta pada suku ketiga – disebabkan tindakan sekatan. Maka CGS-CIMB melihat perluasan CU mampu melonjakkan kembali pertumbuhan dan pemulihan pendapatan entiti.
Di mana sekiranya peluasan cawangan dapat dilakukan dalam tempoh yang ditetap – ini akan membantu mengurangkan kerugian Mynews dalam segmen pusat pemprosesan makanan (FPC) dan makanan sedia dimasak (RTE).
Buat pengetahuan umum, CU menawarkan peruntukan RTE yang lebih tinggi berbanding myNEWS.
Berdasarkan sasaran, operasi FPC berpotensi memberi pulangan modal menjelang akhir 2022 kelak, dan peningkatan itu akan mula kembali rancak pada suku keempat tahun ini.
Melalui laporan, matlamat Mynews ketika ini adalah untuk membuka 50 cawangan diseluruh negara, menjelang Disember kelak. Ini merangkumi perancangan pembukaan lebih 15 cawangan CU pada Oktober, membabitkan kawasan di Lembah Klang.
Manakala perancangan 5 tahun pula – akan memperlihatkan 500 rangkaian CU tersedia pada pasaran negara.
Setakat ini, Mynews telah memiliki 4 cawangan CU bagi suku ketiga tahun 2021. Sementara CU pula memiliki lebih 15,000 kedai di Korea Selatan.
Menerusi pembabitan CU pada jenama runcit Mynews, ia secara langsung menawarkan lebih banyak pilihan dan pengalaman membeli-belah dari Korea Selatan kepada rakyat Malaysia, khususnya pada pengalaman kemudahan runcit.