Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini memaklumkan akan memperluaskan jualan bekalan kit ujian kendiri COVID-19 ke pasar raya dan kedai rantaian terpilih.
Seperti yang umum sedari – ketika ini, hanya fasiliti kesihatan dan farmasi komuniti sahaja menyediakan ruang pembekalan kit ujian tersebut. Menyedari kepentingan alat kesihatan ini, KPDNHEP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini di fasa akhir perbincangan untuk ke arah perluasan itu.
Pada masa yang sama, satu paras harga baharu kit ujian pantas antigen akan dikeluarkan kerajaan, menjelang November kelak. Tindakan penetapan harga baharu itu akan mengambilkira pelbagai faktor dan dimuktamadkan pada tempoh yang ditetapkan.
September lalu kerajaan telah menyatakan penurunan harga akan dilakukan sebelum Disember tahun ini, penetapan kadar tersebut dijangka akan lebih rendah berbanding harga semasa.