Artikel

Isu Larangan Jualan Minuman Keras Di Kedai Runcit, Serbaneka Di KL – Masih Diteliti Kerajaan

Pada November 2020, kerajaan telah memaklumkan tiada lagi penjualan minuman keras pada premis runcit dan kedai serbaneka di ibu negara, Kuala Lumpur bermula awal Oktober 2021.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengatakan tindakan itu adalah seiring dengan pengenalan garis panduan baharu berhubung pemilikan lesen minuman keras (LMK) yang telah mula dikuat kuasakan negara,

Bagaimanapun, tindakan itu telah ditangguhkan oleh DBKL sehingga 31 Oktober ini – di mana penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan untuk menyekat kemudahdapatan minuman itu.

Ini kerana penjualan minuman keras secara terbuka adalah tidak wajar, khususnya kalangan anak muda. Oleh itu, menerusi lanjutan penangguhan ia akan membuka ruang perbincangan kepada semua pihak.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim, sebelum pentadbiran melakukan penguatkuasaan tersebut, keputusan menyeluruh perlu dicapai oleh semua pihak.

Pelbagai aspek perlu diteliti, membabitkan kepentingan penjual dan pengguna. Ini kerana rakyat negara terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan agama. Maka langkah hormat turut diutamakan pada pelaksanaan ini.

Bagi penjelasan lanjut, sekatan jualan ini hanya membabitkan di premis runcit, serbaneka dan kedai ubat cina di Kuala Lumpur sahaja – ia tidak merangkumi lokasi seperti hotel, pub mahupun mana-mana premis yang dibenarkan jualan.