Artikel

Bermula 1 Oktober 2021 – Tiada Lagi Jualan Minuman Keras Pada Kedai Serbaneka, Kedai Runcit Di KL

Mulai 1 Oktober 2021, kedai serbaneka dan kedai runcit di Kuala Lumpur tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengatakan tindakan ini susulan pengenalan garis panduan baharu berhubung pemilikan lesen minuman keras (LMK) yang telah mula dikuat kuasakan.

Selain kedai runcit dan sebaneka – premis jualan ubat tradisional Cina juga turut dilarang menjual barangan sedemikian. Namun diberi pengecualian pada produk minuman keras bagi tujuan perubatan.

Sementara itu, premis lain masih dibenarkan memasarkan produk tersebut tetapi perlu memastikan pelanggan yang membeli haruslah berusia lingkungan 21 tahun ke atas.

Menerusi penetapan garis panduan baharu ini – terdapat had waktu jualan mengikut jenis perniagaan dan pemegang lesen hanya termaktub untuk individu bukan beragama islam sahaja.

Untuk makluman penguatkuasaan ini telah dilakukan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kastam Diraja, Polis Diraja Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, dan NGO.

Tindakan ini dilihat sebagai suatu usaha pihak berkuasa bagi mengawal akses jualan dan memastikan jaminan kesihatan serta keselamatan rakyat negara dapat ditingkatkan.