Artikel

Anak-Anak Kumpulan M40 – Terus Tercicir, Miliki Manfaat Terendah Pada Bantuan Tunai Dan Sosial

Tidak hanya isi rumah dewasa kumpulan M40 sahaja yang berdepan dengan kesukaran untuk perolehi manfaat – tetapi ia turut di alami oleh anak-anak kumpulan ini, yang terpaksa akur akan tindakan tersebut.

M40, adalah antara klasifikasi kelas pendapatan isi rumah di Malaysia – ia merupakan kumpulan kelas pendapatan pertengahan iaitu jumlah purata 40% rakyat Malaysia.

Secara mudahnya, klasifikasi ini membawa erti pendapatan keseluruhan kumpulan M40 adalah bermula pada kadar RM4,851 sehingga mencecah RM10,970. Ini adalah pecahan kelas M40;

  • M1 – RM4,851 – RM5,880
  • M2 – RM5,881 – RM7,100
  • M3 – RM7,101 – TM8,700
  • M4 – RM8,701 – RM10,970

Benar, kelihatannya angka pendapatan ini lebih tinggi jika dibandingkan dengan kumpulan B40. Namun perspektif tersebut perlu diperincikan melalui aspek tanggungan kos sara diri, skala ekonomi kumpulan tersebut dan kedudukan penempatan isi rumah.

Perihal ini tidak termasuk dengan halangan mereka untuk memiliki bantuan – khususnya ketika era pandemik ini.

Mengapa Anak-Anak Kumpulan Pertengahan Ini Sukar Perolehi Bantuan?

Sekiranya kita lihat pada struktur agihan bantuan negara – ia berlandaskan kepada pihak yang kurang bernasib baik. Ini bermakna, kumpulan yang memiliki pendapatan rendah iaitu kelas B40 dan golongan miskin tegar yang memiliki pendapatan di bawah PGK -Pendapatan Garis Kemiskinan, akan menjadi pilihan keutamaan.

Sementara kumpulan isi rumah yang memiliki pendapatan lebih tinggi pula – cenderung perolehi pelepasan pengecualian cukai bagi perbelanjaan berkaitan kanak-kanak.

Apa yang dapat kita lihat bantuan kepada kumpulan pertengahan pula adalah terhad. Dalam bentuk tunai mahupun bantuan dalam bentuk barangan kepada kanak-kanak. Jika diperhatikan pada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan Bantuan Kanak-Kanak (BKK) – ia tertumpu kepada pendapatan keluarga yang rendah sahaja.

Ia tidak didasari berasaskan struktur pecahan ekonomi isi rumah tersebut.

Melalui tinjauan Khazanah Research pada liputan penduduk dan kecukupan bantuan sosial serta pelepasan cukai kanak-kanak di Malaysia menunjukkan, golongan pertengahan sentiasa memiliki kesukaran memenuhi kriteria bantuan.

Manfaat yang dimiliki mereka begitu rendah, dan ada kemungkinan tidak memiliki langsung tawaran manfaat tersebut.

Kelayakan pada BPR misalnya menunjukkan hanya kategori kelas pertengahan M1 sahaja melepasi kriteria perolehan RM500 (bagi isi rumah yang tiada anak atau memiliki seorang anak), dan perolehan RM750 (bagi isi rumah yang memiliki anak lebih dari seorang).

Manakala bagi bantuan BKK pula hanya tertakluk kepada pendapatan isi rumah di bawah PGK iaitu kurang daripada RM560 sebulan (miskin tegar) dengan menerima RM200 bagi setiap anak isi rumah yang berusia 6 tahun ke bawah dan menerima RM150 bagi setiap anak isi rumah yang berusia 7 tahun hingga 18 tahun.

Selain itu, isi rumah turut menerima bantuan maksimum RM1,000 sebulan.


Perincian ini, tidak membawa erti menafikan hak bantuan kepada golongan yang memiliki pendapatan rendah. Namun aturan agihan tunai dan sosial juga turut perlu diberi tumpuan kepada isi rumah yang berpendapatan pertengahan.

Ini kerana, meskipun mereka turut menerima manfaat pelepasan cukai tetapi tidak semua ibu bapa atau penjaga dalam kumpulan ini memiliki pendapatan secukupnya untuk memohon pelepasan cukai berkaitan anak-anak mereka yang ditawarkan dalam sistem cukai pendapatan negara.

Ini kerana isi rumah kumpulan pertengahan turut alami penyusutan pendapatan rentetan ketidaktentuan ekonomi – dan difahamkan kini terdapat 580,000 isi rumah iaitu bersamaan dengan 20% daripada kumpulan M40 negara – telah mengalami penurunan pendapatan kepada B40.

Maka aturan agihan bantuan yang lebih luas perlu disertakan pentadbiran negara.