Artikel

Pulau Langkawi Akan Tampil Selaku Destinasi Rintis, Bagi Kemasukan Pelancong Asing Kelak – MOTAC

Menyedari keupayaan pelancongan domestik sangat terhad kepada pertumbuhan negara, cadangan persediaan perjalanan antarabangsa wajar dipertimbangkan demi kesejahteraan ekonomi Malaysia.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada sidang parlimen hari ini (20 September) menyatakan terdapat beberapa penelitian berhubung persediaan tersebut, sedang dijalankan oleh pentadbiran setelah pandemik COVID-19 kembali reda. Menurut Menteri Pelancongan Dato’ Sri Nancy Shukri – pemilihan Pulau Langkawi selaku destinasi rintis pelancongan tidak hanya tertumpu kepada kemasukan pelancong domestik sahaja, ia merangkumi persediaan kemasukan pelancong asing kelak.

Pemilihan Pulau Langkawi selaku destinasi perintis bagi pelan gelembung pelancongan Malaysia sejak 16 September lalu – adalah disebabkan populasinya yang tinggi, ekosistem ekonomi-pelancongannya dan ketersediaan khidmat perjalanan antara domestik-antarabangsa. Sekiranya agenda gelembung perlancongan domestik Pulau Langkawi ini berjaya, ia akan dibuka kepada kemasukan pelancong asing kelak.

Bagaimanapun, MOTAC menyatakan hasrat tersebut akan mengambil sedikit masa – susulan penantian semua pihak pada peralihan setiap negeri ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). Malah, segala aturan dan kriteria bagi kemasukan pelancong antarabangsa kelak akan mengalami perubahan berlandaskan situasi semasa negara. MOTAC juga memaklumkan, sekiranya pembukaan kemasukan pelancong asing dilaksanakan – Pulau Langkawi akan tampil selaku destinasi rintis bagi tujuan tersebut.