Artikel

Sekitar 30,000 Penjawat Awam, Masih Tidak Mendaftar Untuk Perolehan Vaksinasi – CUEPACS

Di kala kes aktif COVID-19 Malaysia di paras lebihi 200,000 dan angka kematian pula melebihi 22,000 kes kematian – masih terdapat pihak yang belum mendaftarkan diri bagi perolehan vaksinasi.

Antara kumpulan yang terlibat adalah penjawat awam negara. Sekitar 30,000 petugas awam telah didapati, masih belum melakukan pendaftaran berhubung perolehan vaksin COVID-19.

Kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ini jelas memberi kejutan pada pandangan umum. Ini kerana, selaku petugas yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan dasar negara – seharusnya memaparkan sokongan kepada kepentingan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Usaha itu, demi menjamin keselamatan orang awam dan persekitaran tempat kerja di perkhidmatan awam.

Untuk makluman pembaca, Kementerian Sumber Manusia sebelum ini telah memaklumkan – orang awam dibenarkan menolak vaksinasi atas alasan tertentu, namun pihak ini juga berpotensi dikenakan tindakan penalti di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994, sekiranya mengugat keselamatan awam.

Akta ini berperanan memastikan persekitaran lokasi pekerjaan adalah selamat dan tidak menerima ancaman berhubung kesihatan.

Menerusi dapatan jumlah tersebut – CUEPACS memberi peringatan, semua ketua jabatan khidmat awam perlu memainkan peranan dalam memberi penjelasan yang terperinci kepada setiap petugas.

Langkah itu, tidak hanya menjamin kesejahteraan pekerja bahkan memberi nilai yang positif pada sistem pentadbiran negara dalam menyokong pemulihan pertumbuhan.