Artikel

Pekerja Tolak Vaksin COVID-19 Berpotensi Dikenakan Penalti – Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994

Meskipun telah lebih 60% populasi individu di Malaysia memiliki sekurang-kurangnya 1 dos suntikan vaksin COVID-19, namun ia tidak menidakkan kenyataan masih ramai pihak menolak suntikan tersebut.

Lebih membimbangkan, penolakan ini turut berlaku dalam kalangan pekerja awam dan swasta. Ini akan memberi kesan kepada persekitaran operasi ekonomi negara.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) melihat tindakan segelintir pekerja yang menolak vaksinasi tanpa alasan kesihatan yang kukuh, boleh dikenakan tindakan perundangan, walaupun ketika ini tiada sebarang pengenaan akta khas.

Potensi itu merangkumi di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994.

Aka ini berperanan memastikan persekitaran lokasi pekerjaan adalah selamat dan tidak menerima ancaman berhubung kesihatan.

Datuk Seri M Saravanan, Menteri KSM melihat tindakan pekerja yang menolak vaksinasi adalah hak peribadi mereka, namun ia berupaya mengancam keselamatan pekerja lain.

Untuk makluman umum, sekitar 13,519 kes daripada jumlah kes baharu pada 5 September dilaporkan tidak memiliki sejarah vaksinasi atau tidak melengkapkan vaksinasi. Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham pada perkongsian itu, menegaskan kepentingan vaksin mampu membantu semua pihak mengurangkan risiko jangkitan dan kesan yang lebih tinggi.

Maka tindakan pengenaan mengikut akta tersebut dilihat relevan. Perkara itu boleh dilaksanakan demi menjamin kesejahteraan semua pihak di setiap premis perniagaan. Oleh itu, setiap pekerja yang tidak memiliki sebarang isu kesihatan, perlu segera melengkapkan vaksinasi untuk kerharmonian semua pihak.