Kekurangan tenaga kerja dalam sesebuah industri, sudah pasti akan memberi kesan kepada produktiviti sektor dan kapasiti pengeluaran produk mereka, ini yang berlaku terhadap tenaga buruh perladangan.
Namun firma penyelidikan MIDF Research melihat, kekurangan tenaga kerja itu dapat diatasi setelah pertumbuhan vaksinasi memaparkan tanda positif dan mendorong kepada pembukaan semula sempadan, pada tahun hadapan.
Buat masa ini, jumlah pengeluaran pada Ogos 2021 memaparkan aliran yang positif dengan 11.8% kepada 1.70 juta tan berikutan minyak sawit tempatan telah memasuki fasa paras puncak disebabkan cuaca yang baik.
Rekod ini lebih tinggi berbanding 1.52 juta tan.
Selain isu tenaga kerja dan pengeluaran yang kekal seimbang, aspek permintaan juga dilihat dapat terus diperkasa, dengan jangkaan permintaan tinggi dari India dan China.
Ia susulan pembukaan semula ekonomi di negara terbabit akan merancakkan lagi penambahan stok pasaran minyak sawit dari Malaysia.
Seperti yang umum ketahui, April lalu – terdapat sekitar 40,000 permintaan berhubung kemasukan tenaga asing untuk sektor perladangan. Permintaan ini berikutan pengurangan guna tenaga pada sektor perladangan komoditi yang dianggarkan sekitar 500,000 pekerja. Setakat ini terdapat 220,000 pekerja tempatan, manakala 265,397 pekerja asing.
Bagaimanapun permintaan itu ditangguhkan seketika berikutan situasi kesihatan dan mengutamakan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.