Awal September lalu, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah memaklumkan terdapat pendekatan baharu akan dilakukan pada pakej umrah dan pengeluaran visa masuk jemaah.
Kini bagi pemegang visa pelancongan, yang memiliki akses kemasukan ke Arab Saudi dibolehkan laksana ibadah umrah setelah memperolehi permit di bawah aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.
Kedua-dua aplikasi ini dibangunkan untuk membolehkan individu mengemaskini status kesihatan vaksinasi mereka dan seterusnya menempah permit atau temu-janji bagi melaksanakan ibadah umrah di Arab Saudi.
Seperti yang umum sedia maklum, Arab Saudi telah membuka akses pelancongan kepada 49 buah negara termasuklah Malaysia pada 5 Ogos lalu – antara yang terlibat Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun, China, Korea Selatan, Brunei, Singapura dan beberapa negara lain.
Buat masa ini, sekitar 500 syarikat dan lebih 6,000 ejen umrah telah tersedia dan beroperasi menerima jemaah luar negara yang telah melengkapkan vaksinasi mereka. Namun individu yang terlibat perlulah melepasi kriteria suntikan selepas 14 hari bagi 2 dos, dan 28 hari bagi pengambila dos tunggal vaksin COVID-19 sebelum melakukan permohonan.