Artikel

Arab Saudi Kini Buka Akses Pelancongan Kepada 49 Buah Negara, Termasuk Malaysia

Walaupun negara sedang berdepan kadar penularan kes COVID-19 yang tinggi, namun kadar agihan vaksinasi nyata memberikan sinar kepada sektor perlancongan antarabangsa.

Berdasarkan perkongsian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan Arab Saudi kini membuka akses pelancongannya kepada 49 buah negara, termasuklah untuk Malaysia.

Pemilihan negara selaku senarai tersebut adalah berpaksikan kepada sistem pengurusan kesihatan yang baik, dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, kenyataan rasmi berhubung permohonan visa umrah dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tidak dimaklumkan lagi setakat ini.

Untuk makluman, antara negara yang terlibat memiliki akses pelancongan adalah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun, China, Korea Selatan, Brunei, Singapura dan beberapa negara lain.