Secara jelas – pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan kesihatan di seluruh negara untuk pandemik COVID-19 telah memperlahankan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Oleh itu, Bank Negara Malaysia (BNM) kini mengambil keputusan untuk mengekalkan paras Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada kadar 1.75%. Penilaian itu telah dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada hari ini (9 September).
OPR atau Kadar Dasar Semalaman adalah sebuah kadar yang ditetapkan oleh BNM ke atas pinjaman dana untuk seluruh bank di Malaysia.
Dalam kenyataan yang sama, BNM menyatakan sejak awal tahun hingga kini, purata inflasi keseluruhan ialah 2.3% dan diunjurkan antara 2.0% hingga 3.0% pada tahun 2021. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, berpurata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun ini, dalam keadaan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.
Walau bagaimanapun, prospek ini terus bergantung pada perkembangan harga komoditi global dan langkah-langkah dasar bagi meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh orang ramai. Walau bagaimanapun, inflasi asas dijangka kekal rendah secara relatif pada tahun 2022.
MPC menyifatkan pendirian dasar monetari adalah wajar dan akomodatif. Selain itu, langkah-langkah fiskal dan kewangan akan terus dilaksanakan bagi mengurangkan kesan ekonomi terhadap perniagaan dan isi rumah serta memberikan sokongan kepada kegiatan ekonomi.
Berikutan keadaan pandemik yang tidak menentu, pendirian dasar monetari akan terus ditentukan oleh data baharu serta kesannya kepada prospek keseluruhan inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.