Meskipun 31 Mei lalu – Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi pilihan tawaran moratorium secara automatik selama 3 bulan atau pengurangan ansuran pinjaman kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), tetapi ia masih lagi tidak mengurangkan kerugian yang dihadapi oleh perniagaan ini.
Hasil tinjauan Persatuan PKS Malaysia, sekitar 200,000 perniagaan kini berdepan dengan penutupan sepenuhnya, ataupun lebih tepat terpaksa ‘gulung tikar’.
Situasi ini ekoran penerapan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang menjadi petunjuk akan pembukaan sesebuah ekonomi. Pihak persatuan melihat pembukaan secara terpilih ini tidak akan memberi jaminan kepada kedudukan operasi PKS negara.
Apatah lagi, jika jangkaan penutupan itu benar-benar berlaku – ia mampu mencetuskan 1 juta kehilangan pekerjaan dicatatkan. Perkara ini perlu dihindari segera dengan menampilkan pembukaan ekonomi secara menyeluruh bersama aturan SOP yang ketat.
Malah dapatan setakat Ogos lalu 54% daripada 1,100 PKS mengakui terpaksa menghentikan seketika operasi premis mereka disebabkan halangan sekatan. Sementara 25% daripada peratusan tersebut mengambil keputusan menutup operasi sehingga tempoh sekatan berakhir.
Tindakan itu untuk mengimbangi kos bebanan yang dipikul PKS – iaitu kos gaji pekerja, sewa premis, kerugian berhubung bekalan dan kos penyelenggaraan.
Melihat situasi ini sukar untuk Malaysia mencapai sasaran PKS untuk menyumbang 50% kepada pertumbuhan KDNK menjelang 2030 kelak. Ini kerana, dengan hanya berpaut kepada bantuan jangka masa pendek sahaja ia tidak akan menjamin kestabilan pasaran PKS Malaysia.