Artikel

Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Kini Ditetapkan Maksimum RM19.90 Runcit, Sementara Harga Borong RM16.00 – KPDNHEP

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini memaklumkan harga maksimum jualan runcit dan borong untuk Kit Ujian COVID-19 bagi rakyat Malaysia.

Berdasarkan perkongsian, harga maksimum untuk runcit adalah RM19.90, sementara harga borong adalah RM16.00. Penguatkuasaan harga jualan ini akan bermula pada 5 September kelak.

Ketetapan ini selari dengan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Seperti yang umum ketahui, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah memaklumkan semalam (1 September) pada sidang khas KKM di mana harga siling untuk kos kit ujian kendiri COVID-19 itu akan dinyatakan oleh KPDNHEP pada hari ini (2 September).

Selain itu, penelitian untuk pembekalan kit ujian tersebut ke atas kumpulan isi rumah B40 juga turut sedang diusahakan pihak pengurusan. Sebarang perincian lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.