Artikel

PAKEJ Sasar Penggunaan Kenderaan Roda Tiga – Tingkatkan Kecekapan Khidmat Kurier Negara

Bagi memastikan kecekapan perkhidmatan kurier terus diperkasa, kini penggunaan kenderaan roda tiga pada pengangkutan sektor tersebut akan  mula jadi tumpuan.

Makluman tersebut dikongsikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah Pelan Accelerator Kurier Negara (PAKEJ) – yang telah dilaksanakan pada pertengahan Jun lalu.

Tumpuan pada penganggkutan kenderaan tiga roda ini, dilihat berupaya meningkatkan kapasiti penghantaran barangan 3 kali ganda berbanding kenderaan motosikal.

SKMM melihat pendekatan ini tidak hanya meningkatkan kecekapan operasi, bahkan turut sama sertai tindakan yang telahpun diterapkan oleh beberapa negara lain seperti Singapura, New Zealand, Australia dan United Kingdom.

Bagaimanapun, tumpuan itu masih diperingkat awal dan memerlukan kelulusan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk jaminan keselamatan petugas penghantaran.

Untuk makluman, PAKEJ adalah pelan 5 tahun yang digariskan SKMM untuk membantu sektor kurier negara. Tindakan pelan ini disasarkan dapat mengurangkan bebanan kos operasi serta meningkatkan agihan upah dalam kalangan petugas perkhidmatan.