Artikel

Pos Malaysia Jangka Khidmat Kurier Terus Terjejas – Rekod Lonjakan Kerugian Bersih, RM121.84 Juta

Tindakan Pos Malaysia yang menamatkan kontrak petugas Pos Rider secara berperingkat sebelum ini, telah mewujudkan pelbagai persoalan berhubung prestasi syarikat mereka.

Ternyata entiti ini memaparkan peningkatan pada rekod kerugian bersih untuk suku kedua yang berakhir pada 30 Jun lalu – iaitu rugi kepada RM121.84 juta. Angka ini lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020, iaitu RM19.02 juta.

Sementara pendapatan bagi suku tahunan pula telah merosot kepada RM533.89 juta, berbanding RM606.08 juta.

Terdapat beberapa aspek yang menjadi pencetus kepada penyusutan ini – antaranya penurunan 9% merangkumi penurunan jumlah surat dan bungkusan, perolehan pendapatan yang lebih rendah sekitar RM35.4 juta, kos pemasaran dan operasi yang lebih tinggi sekitar RM55.4 juta dan caj tanggungan berhubung kos peralatan menyeluruh sekitar RM43.6 juta.

Segmen kurier Pos Malaysia juga telah mencatatkan penurunan 17% sejak penutupan operasi fizikal oleh pelanggannya dilaksanakan. Ini turut membawa kepada kerugian kepada entiti, selaku penyedia.

Meskipun terdapat faktor penurunan yang lebih ketara, namun segmen logistik masih memaparkan petunjuk positif, dengan peningkatan perolehan 32%, lebih tinggi. Kenaikan itu meliputi semua perniagaan dari aspek pengangkutan, penghantaran.

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu mengatakan tempoh sekatan ketika ini akan terus beri tekanan kepada segmen pos dengan penurunan 20% dalam perniagaan mel dan menjangkakan perubahan tingkahlaku pengguna akan mendorong kepada peralihan ke digitalisasi.