Artikel

Pos Malaysia Kini Tamatkan Kontrak 262 Ejen Pos Rider Di Lembah Klang

Pasaran pos dan kurier domestik negara kini mengalami perubahan, ekoran situasi semasa. Arena perkhidmatan penghantaran ketika ini memaparkan penurunan pada jumlah mel. Sementara berdepan persaingan bersama platform e-dagang dalam penawaran perkhidmatan.

Menerusi Pos Rider, Pos Malaysia sejak 2019 berupaya memenuhi penyampaian penghantaran bungkusan di seluruh negara.

Namun kini tindakan penamatan kontrak 262 ejen Pos Rider di Lembah Klang perlu dilakukan.

Pos Malaysia memaklumkan proses rasionalisasi  fasa kedua bagi program khidmat luar Pos Rider ini akan dijalankan mulai 1 September kelak. Penelitian pada operasi perlu disemak semula dan tindakan menghentikan skim Pos Rider ini akan dilakukan secara berperingkat.

Meskipun tindakan itu dilaksanakan, Pos Malaysia memberi jaminan – keutamaan khidmat akan diberi kepada bekas petugas Pos Rider sekiranya terdapat peningkatan permintaan penghantaran.

Jaminan itu akan memberi manfaat kepada seluruh pihak dalam mengekalkan kecekapan perkhidmatan dan kos peruntukan.