Artikel

SBR Rujukan Baharu Bagi Kadar Faedah Pinjaman Pengguna, Diseragamkan Mengikut OPR – BNM

Berdasarkan kemaskini Rangka Kerja Kadar Rujukan, Bank Negara Malaysia (BNM) kini memaklumkan penggantian Kadar Asas Standard (SBR) selaku kadar rujukan baharu – bagi penentuan kadar faedah untuk pinjaman runcit dan pembiayaan semula pinjaman sedia ada.

Penguatkuasaan itu akan dilakukan mulai 1 Ogos 2022 kelak.

Penetapan Kadar Asas Standard ini akan menggantikan Kadar Asas (BR) ketika ini. Untuk makluman, kadar rujukan adalah kadar faedah yang mampu diakses oleh orang awam dan digunakan oleh institusi kewangan negara sebagai asas – menentukan kadar faedah bagi pinjaman.

Kadar ini akan diseragamkan kepada Kadar Dasar Semalaman (OPR) – ini bermakna OPR akan menjadi penentu kepada perubahan Kadar Asas Standard. Namun iai bergantung kepada risiko kredit (prestasi pembayaran balik pinjaman) pengguna. Sekiranya pengguna gagal membayar pinjaman, risiko kredit akan meningkat dan angka ansuran pinjaman akan berbeza.

Menurut Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus – Kadar Asas Standard akan mendorong pemerkasaaan dasar monetari negara dalam pelarasan bayaran balik pinjaman runcit, mengikut perubahan OPR.

Pinjaman Runcit merujuk pinjaman individu (bukan PKS atau perniagaan). Manakala, Pinjaman Berkadar Terapung pula merujuk pinjaman yang kadar faedah boleh berubah sepanjang tempoh pinjaman.

Maka menerusi penguatkuasaan pada Ogos 2022 kelak, ini akan memberi persediaan kepada institusi kewangan memastikan pelaksanaan rangka dapat dilakukan dengan baik. Penyeragaman ini memudahkan pengguna melaksanakan perbandingan pinjaman antara bank dan membantu pengguna membuat pertimbangan ketika melakukan permohonan pinjaman berkadar terapung.

Sebarang maklumat lanjut boleh melayari BNMLink telelink.bnm.gov.my atau hubungi talian 1-300-88-5465.