Pelan pemulihan bagi sektor pendidikan negara perlu dilaksanakan segera, susulan peningkatan kes harian COVID-19 yang masih tinggi ketika ini – melepasi paras 19,000 kes positif sehari.
Umum ketahui, pada 17 Julai lalu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan sesi persekolahan akan dibuka secara berperingkat mulai 1 September kelak.
Langkah itu nyata merunsingkan semua pihak, khususnya ibu bapa dan petugas pendidikan negara.
Menurut laporan, Dr Anuar Ahmad, Pesyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti UKM menyatakan pelan pemulihan sektor pendidikan perlu dipertimbangkan – untuk meningkatkan semula kesejahteraan sistem pendidikan negara.
Pertimbangan ini meliputi kelulusan di peringkat Parlimen, di mana sesi persekolahan hanya boleh dibuka setelah pelan pemulihan tersebut mendapat pendekatan menyeluruh dari semua.
Namun menerusi peningkatan kes ketika ini, tiada jaminan menunjukkan institusi pendidikan dapat mengelak dari merisikokan para petugas dan pelajar negara, sekiranya sesi persekolahan dibuka.
Menerusi pelan pemulihan negara (PPN) bagi sektor pendidikan – pelbagai tumpuan khusus dan aturan lengkap perlu diselaraskan. Untuk makluman, sejak tahun 2020 – sektor pendidikan negara perlu menyesuaikan pembelajaran secara atas talian (PdPR). Maka penambahbaikan perlu merangkumi penyediaan rangkaian internet lebih baik dan peluasan peranti kepada pelajar terlibat. Bagi menjamin proses penyampaian sistem pendidikan negara dapat dipertingkatkan.