Sudah menjadi faktor asas, tapak politik sesebuah negara akan memberi cerminan pada pasaran, pertumbuhan ekonomi mereka. Malaysia sejak minggu lalu, telah berdepan dengan situasi ketidaktentuan politik – ini membawa kesan langsung terhadap sentimen ekonomi negara.
Penganalisis Maybank Kim Eng minggu lalu, menyifatkan meskipun kerajaan persekutuan telah memaklumkan usul undi percaya akan dibahaskan pada sidang Parlimen kelak iaitu pada September, tindakan itu sedikit sebanyak telah mengurangkan ketidakpastian segelintir pelabur.
Bagaimanapun, pasaran ketika ini mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga Parlimen bersidang dan membentangkan usul undi percaya. Langkah itu akan diperhatikan keputusan menyeluruh dapat diketahui.
Sekiranya kecelaruan politik dapat diatasi menerusi undi percaya – ini akan membantu melegakan ekonomi Malaysia, khususnya kerunsingan para pelabur.
Pada masa yang sama, tumpuan pada Belanjawan 2022 juga – turut akan menjadi petunjuk kepada halatuju ekonomi negara dalam proses pemulihan.
Untuk makluman, Maybank Kim Eng telah melakukan semakan jangkaan pertumbuhan ekonomi Malaysia paras 4.2% pada tahun ini. Tetapi, masih optimis apabila menyasarkan rekod permintaan domestik pada 2022 akan menjadi lebih baik.
Pertumbuhan tahun ini telah dibantu permintaan luar yang stabil – dalam sektor teknologi dan komoditi. Situasi itu secara tidak langsung mengimbangi kesan permintaan domestik yang lemah.