Artikel

Usul Undi Percaya Akan Dilaksanakan Pada Sidang Parlimen September Kelak – PM Muhyiddin

Ketidaktentuan kesihatan, ekonomi serta politik Malaysia kini dilihat semakin kompleks dan perlu diimbangi semula dengan aturan yang lebih baik. Memahami perkara itu, sidang khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini (4 Ogos) mengumumkan usul undi percaya akan dibentangkan pada sidang Parlimen kelak, iaitu pada September 2021.

Perkara ini telah diperkenankan oleh YDP Agong.

Perkara ini mengambil kira pelbagai aspek, di mana PM Muhyiddin telah dititah menghadap YDP Agong Sultan Abdullah pada pagi ini dan dimaklumkan masih memiliki sokongan majoriti selaku pemimpin negara.

Ini bermakna di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan – tidak lagi berbangkit untuk menyarankan peletakan jawatan PM Muhyiddin selaku pemimpin Malaysia.

Maka menerusi usul undi percaya ini akan dilakukan untuk memastikan jaminan kepercayaan pentadbiran yang diketuai PM Muhyiddin Yassin adalah sahih.

Pada awal sidang khas, PM Muhyiddin turut menzahirkan permohonan maaf kepada rakyat negara atas kesulitan yang sedang dihadapi politik negara.