Artikel

HappyFresh Raih AS$65 Juta – Sasar Pemacuan Rangkaian, Meliputi Pasaran Di Malaysia

Entiti khidmat penghantaran barangan runcit, HappyFresh kini akan memperluaskan rangkaiannya di seluruh negara.

Menurut Pengarah Urusan HappyFresh Malaysia Hu Hun Hui, sasaran perluasan ini seiring dengan agenda menawarkan pembangunan peluang pekerjaan lebih tinggi kepada pasaran negara.

Ini selari dengan peningkatan pemintaan keperluan secara atas talian.

Antara kawasan dan negeri disasarkan adalah merangkumi Putrajaya, Cyberjaya, Rawang, Butterworth, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, dan Sabah dan Sarawak.

Untuk makluman, entiti penyampaian Asia Tenggara ini telah mengumpul sekitar AS$65 juta bagi siri D untuk dorongan pertumbuhan operasi.

Pusingan pembiayaan ini diketuai oleh Naver Financial Corporation dan Gafina B.V., diikuti oleh STIC, LB dan Mirae Asset Indonesia serta Singapura. Pelabur sedia ada seperti Mirae Asset-Naver Asia Growth Fund dan Z Venture Capital juga turut mengambil bahagian. Pusingan tersebut melepasi sasaran awal, ekoran permintaan yang tinggi daripada pelabur baharu dan sedia ada. 

HappyFresh dilihat telah melangkah ke arah meraih keuntungan jangka masa panjang dalam tempoh waktu yang sememangnya mencabar untuk mengekalkan perniagaan. Prestasi ini turut memaparkan sentimen positifkepada pelabur terhadap kedudukan HappyFresh yang kukuh untuk merebut pelbagai peluang hebat dalam pasaran runcit di Asia Tenggara.

Selain memperluaskan rangkaian, HappyFresh turut menyasarkan peningkatan tawaran perkhidmatan seperti kaedah pembayaran yang lebih banyak, kepelbagaian pengalaman pengguna yang lebih baik dan membawakan perkhidmatan HappyFresh kepada lebih ramai keluarga di setiap negara meliputi seluruh wilayah.

Sebelum ini, HappyFresh telah memaklumkan penawaran caj lebih rendah kepada pengguna. Langkah tersebut bertujuan memastikan penjimatan lebih tinggi dapat dinikmati para pengguna.