Artikel

Status Proklamasi Darurat Hanya Akan Diperincikan – Pada 2 Ogos Kelak

Minggu ini, terdapat pelbagai perdebatan diutarakan pada sidang mesyuarat khas Parlimen – apabila makluman 6 Ordinan Darurat telah dibatalkan sejak 21 Julai lalu.

Pelbagai persoalan mulai timbul akan tindakan tersebut, di mana tiada penyataan rasmi dilakukan oleh pentadbiran negara. Situasi ini telah menimbulkan kekeliruan kepada orang awam.

Khususnya bagi individu yang terlibat berhubung pengenaan kompaun selepas tarikh pemansuhan 21 Julai itu. Berdasarkan fahaman, pembatalan ordinan itu akan mengelirukan pihak berkuasa dan sistem kesihatan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang memaklumkan perihal tersebut bagaimanapun, menyatakan perincian berhubung status itu hanya akan dilaksanakan pada minggu hadapan, 2 Ogos.

Menurutnya kerajaan akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk tidak melanjutkan status darurat negara, yang bakal berakhir pada 1 Ogos kelak.


Untuk makluman, pelaksanaan Darurat sejak 12 Januari lalu ini, telah diusulkan kepada Yang di-Pertuan Agong merujuk Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. Maka atas budi bicara baginda, pelaksanaan tersebut akan diluluskan berdasarkan persekitaran semasa yang melibatkan keselamatan, ekonomi dan kesejateraan rakyat negara.

Berdasarkan laporan terdahulu – menerusi pengisytiharan darurat itu, sekiranya pelaksanaan ini dapat ditamatkan lebih awal – pengesyoran itu akan dimaklumkan kepada Agong terlebih dahulu dan perkenan tersebut setakat ini ditetapkan sehingga 1 Ogos sahaja.