Darurat dalam makna Dewan Bahasa dan Pustaka menakrifkan ia sebagai keadaan yang serba sulit dan keadaan yang tidak disangka-sangka.
Untuk Malaysia, pelaksanaan Darurat ini perlu diusulkan kepada Yang di-Pertuan Agong merujuk Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan. Maka atas budi bicara baginda, pelaksanaan tersebut akan diluluskan berdasarkan persekitaran semasa yang melibatkan keselamatan, ekonomi dan kesejateraan rakyat negara.
Apabila sesebuah negara mengisytiharkan Darurat maka perundangan yang digubal akan dikuatkuasakan pada tempoh terbabit tanpa perlu dikemukakan kepada sidang Parlimen untuk sebarang kelulusan.
Tindakan itu bagi mengelakkan dari sebarang rusuhan, demonstrasi, peningkatan bencana alam dan penurunan aliran ekonomi terus berlaku.
Jadi, Ketika Darurat – Apa Antara Perkara Yang Akan Terjadi?
Seperti yang penulis maklumkan – pelaksanaan darurat ini adalah berdasarkan budi bicara YDP Agong berhubung situasi yang berlaku. Maka ini yang akan terjadi sekiranya Agong bersetuju.
Pertama – YDP Agong boleh mengeluaran suatu Proklamasi Darurat bagi melaksanakan pengisytiharan tersebut bagi negara, setelah baginda mengambil kira kedudukan dan situasi semasa negara.
Kedua – Sebenarnya pelaksanaan Pengisytiharan Proklamasi Darurat ini boleh dilakukan sebelum peristiwa bencana berlaku. Ini kerana ia adalah wajar bagi mana-mana perkara yang boleh mengancam keselamatan atau pertumbuhan ekonomi negara. Ia juga boleh dilaksanakan apabila Agong benar-benar berpuas hati bahawa keadaan tersebut mampu mengugat negara, maka ia akan diperkenankan.
Ketiga – Agong juga boleh menetapkan sebarang ordinan atau segala undang-undang digubal mahupun dipinda berdasarkan situasi semasa negara bagi pelaksanaan darurat tersebut. Tindakan itu tidak perlu dikemukakan kepada Parlimen untuk kelulusan, ia terus dapat dilaksanakan.
Keempat – Apabila Proklamasi Darurat dilakukan maka kerajaan persekutuan memiliki kuasa dalam mengambil alih apa jua hal dan perkara dalam kuasa perundangan, pentadbiran bagi mana-mana pengurusan kerajaan negeri serta agensi.
Kelima – Setelah tempoh 6 bulan atau suatu tempoh yang telah ditetapkan, pelaksanaan Proklamasi Darurat ini secara automatiknya akan terhenti dan segala undang-undang yang digubal ketika darurat tidak akan sah, ia akan berhenti berkuat kuasa.
Oleh itu setiap tindakan dan arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan, rakyat perlu dan wajib patuhinya. Ini kerana setiap arahan telah memperolehi budi bicara YDP Agong.
Sememangnya pengisytiharan darurat ini bukanlah suatu hal yang mudah untuk dilakukan. Usul ini perlu dibuat berdasarkan keadaan semasa yang meliputi faktor politik, ekonomi dan sosial negara.
Antara risiko yang harus dipertimbangkan adalah apakah penerapan dasar kerajaan ketika darurat sedang dilakukan dan bagaimana pihak berkuasa tangani gelombang panik yang akan berlaku dalam kalangan rakyat negara. Sekiranya gagal diatasi ini akan membawa kepada kemerosotan keamanan negara.