Aturan gabungan SPAC, antara Grab dan Altimeter kini dijangka berlaku pada akhir tahun ini.
Perancangan sejak April ini, bersama Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC) ini ternyata menjadikan gabungan tersebut sebagai ‘Blank Check Company’ terbesar yang pernah dilakukan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Grab – Anthony Tan pada laporan Bloomberg, penggabungan itu mengalami lanjutan berikutan penelitian pada laporan audit kewangan mereka.
Untuk makluman, mana-mana aturan gabungan bersama SPAC kini perlu mengikuti pemeriksaan SEC – Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS. Tindakan penelitian merangkumi penjelasan pihak SPAC berhubung waran – sekuriti yang dikeluarkan kepada pelabur awal – sebagai liabiliti, dan bukan sebagai ekuiti.
Melalui langkah penyenaraian awam AS bernilai hampir AS$40 bilion (RM164 bilion) ini – ia akan memberi Grab kekuatan tambahan pada pasaran bersama rakan saingannya.
Grab kini telah memperluaskan operasi pada 8 buah negara meliputi perkhidmatan ke 398 buah bandar. Malah pihaknya tidak sekadar memberi tumpuan kepada perkhidmatan penghantaran makanan.
Kini Grab mulai mempelbagaikan perkhidmatan mereka dari segi segmen penghantaran barangan kepada penawaran pembiayaan BNPL untuk pengguna mereka.