Artikel

Peningkatan Segmen Beli Sekarang, Bayar Kemudian – Adakah Ia Undang Risiko Kepada Belia?

Sejak kebelakangan ini segmen Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) telah mula menjadi pilihan belia pada kaedah pembayaran pembelian mereka. Perkara ini bukanlah suatu yang janggal – kerana ia telah didorong oleh beberapa aspek seperti ketidaktentuan ekonomi global, krisis kewangan, serta ganjaran yang menarik pada penggunaan platform e-dagang dan dompet digital.

Perubahan ekonomi global telah menyebabkan individu mula menilai penggunaan tunai mereka dengan lebih teliti. Perubahan tingkah laku ini ternyata mengamit langkah penyedia kewangan untuk mendorong para pengguna melakukan transaksi secara ‘ansuran‘ iaitu BNPL.

Untuk makluman, bagi pasaran Asia Tenggara yang memiliki lebih 655 juta warga penduduk – hanya 27% daripada populasi itu memiliki akaun bank. Menurut laporan Bank Dunia sebelum ini, meskipun negara Asia Tenggara memiliki kadar sambungan peranti pintar mencecah 133% di mana pengguna memiliki lebih dari satu penggunaan kad SIM atau telefon pintar, namun peratusan memiliki akaun bank masih lagi rendah.

Bank Dunia menganggarkan bahawa sekitar 80% orang di Indonesia, Filipina, dan Vietnam, dan 30% di Malaysia dan Thailand, tidak memiliki akaun bank.

Maka tidak hairanlah mengapa segmen BNPL mendapat perhatian orang ramai – kerana ia tidak memerlukan sebarang pemilikian akaun bank tradisional. Pengguna boleh memilikinya menerusi kaedah pinjaman digital dan pembayaran digital menerusi e-dagang serta dompet digital.

Peningkatan BNPL

Seperti yang semua ketahui, pengenalan BNPL telah diperkasakan oleh penyedia teknologi seperti Grab, Razer, dan Shopee. Penawaran yang diberi oleh penyedia teknologi ini membolehkan pelanggan membuat pembelian dan membayarnya dari masa ke masa secara ansuran mingguan atau bulanan. Produk-produk ini sering dilengkapi dengan ciri-ciri menarik termasuk faedah 0%.

Peningkatan itu telah diperlihatkan pada lanjutan Laporan Bank Dunia – Penilaian Pasaran Fintech COVID-19, di mana bagi kategori negara Asia Pasifik, untuk segmen pinjaman digital, pembayaran digital merangkumi penawaran BNPL jelas memaparkan – peningkatan sejak tahun 2020. Malah peningkatan itu cenderung penyertaan belia seawal usia 19 tahun sehingga 34 tahun.

Malah momentum peningkatan itu turut mendapat sokongan pada Laporan e-Conomy SEA 2020 Google, Temasek dan Bain & Company – di mana negara Asia akan tampil selaku wilayah yang berkembang pesat dari segi garapan ekonomi digital.

 

Berdasarkan tinjauan Kantar, rata-rata jumlah transaksi tunai telah menurun dari 48% sebelum COVID-19 menjadi 37% setelah COVID-19. Pada masa yang sama, kekerapan urusniaga dompet digital meningkat dari purata 18% sebelum COVID-19 hingga 25% setelah kehadiran COVID-19, menunjukkan peralihan besar dari satu kaedah pembayaran ke kaedah pembayaran yang lain.

Bagi peringkat global pula – pasaran BNPL telah memaparkan perkembangan tinggi dan kini jangkaan nilai disasar meningkat kepada AS$33.6 bilion menjelang tahun 2027 kelak.

Risiko BNPL Dan Tekanan Kepada Perbankan Tradisional

Tidak semua peningkatan penerapan menghasilkan impak yang positif kepada aliran pembelian. Melalui BNPL, jika anda dapat memenuhi pembayaran mengikut ketetapannya maka ia tidak menghasilkan sebarang risiko. Namun tidak, bagi mereka yang gagal atau melakukan pembayaran lewat.

Ini menyebabkan para pengguna akan berdepan dengan caj faedah serta caj tambahan lain. Perkara ini akan memberi kesan kepada skor kredit pengguna. Kegagalan pembayaran itu sudah pasti akan dilaporkan kepada biro pengurusan kewangan, dan ini akan memudaratkan potensi pengguna dalam urusniaga lain.

Selain itu, pengenalan BNPL secara langsung memberi tekanan kepada pihak perbankan untuk tampil menyediakan tawaran yang sama. Ini kerana tawaran kad kredit mereka akan terkesan disebabkan BNPL.

Beberapa negara telah mulai menawarkan pendekatan pinjaman seperti BNPL. Antaranya adalah negara Australia, National Australia Bank melancarkan kad NAB StraightUp pada tahun 2020, yang membolehkan pelanggan mengakses kredit sehingga A$3,000 dengan caj bulanan tetap, atau tidak membayar apa-apa jika kad tersebut tidak digunakan. Tindakan yang sama turut dilaksanakan oleh Commonwealth Bank of Australia.

Manakala di Malaysia, penulis kurang pasti akan garapan BNPL pada institusi perbankan negara. Setakat ini, tiada sebarang penguatkuasaan perlindungan diperuntukan untuk aktiviti transaksi tersebut di negara. Buat masa ini, kadar hutang isi rumah Malaysia mencatatkan paras 87.5% kini ia telah meningkat kepada 93.3%. Angka itu dijangka terus meningkat susulan pengenalan BNPL yang semakin rancak.

Berlainan dengan Singapura – negara jiran, Monetary Authority of Singapore (MAS) ketika ini sedang berunding dengan pemain industri. Perancangan itu berpotensi menyediakan kerangka kerja perlindungan kepada pengguna serta penyedia berikutan risiko pinjaman yang dilakukan.


Melihat situasi ini, sewajarnya terdapat garis penguatkuasaan berhubung pinjaman BNPL di Malaysia diperkenalkan. Langkah ini tidak hanya membantu orang awam menyedari akan kesan pinjaman, namun turut memberi pendedahan serta pendidikan kepada mereka dalam pengurusan kewangan harian. Usaha ini dapat memberi jaminan kepada aliran tunai pengguna di Malaysia.