Artikel

Lebih 1,000 Aduan Diterima, Majikan Tidak Membenarkan Pekerja – Bekerja Dari Rumah

Awal Mei lalu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) telah menampilkan aplikasi Working for Workers (WFW) untuk membantu para pekerja membuat aduan, sekiranya terdapat sebarang penindasan.

Berikutan tambahan sekatan pada siri PKP kali ini, kategori Bekerja Dari Rumah telah disertakan pada pilihan aduan sejak 23 Mei lalu dan setakat 2 Jun – KSM telah menerima 1,121 aduan berhubung kategori tersebut.

Ini bermakna masih ramai tenaga pekerja yang berdepan dengan penindasan – di mana tidak dibenarkan bekerja dari rumah.

Untuk makluman, mana-mana premis atau majikan yang gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan akan berdepan dengan kompaun RM50,000.

KSM memberi peringatan untuk setiap premis mematuhi arahan ini.

Pada masa yang sama – antara kategori aduan yang diterima juga adalah berhubung isu gaji sekitar 260 kes, dibuang kerja tanpa notis 73 kes dan tidak menerima elaun atau faedah kerja lebihi masa 68 kes.

Selain itu, terdapat 4 negeri yang mencatatkan rekod aduan tertinggi buat masa ini iaitu Selangor (580 kes), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (511 kes), Johor (223 kes) dan Pulau Pinang (134 kes).