Artikel

Belia, Pelajar Terima Agihan Kredit e-Tunai Sekitar RM150 Menerusi 4 Dompet Digital – Bermula 1 Jun Ini

Pertengahan Mei lalu, Kementerian Kewangan (MOF) telah memaklumkan sekitar 2 juta belia dan pelajar sepenuh masa akan menerima nilai kredit e-tunai sebanyak RM150. 

Peruntukan ini akan diagihkan menerusi 4 platform dompet digital terpilih iaitu Touch ‘n Go eWallet, Boost, ShopeePay dan BigPay, mulai 1 Jun (esok) ini sehingga 22 Julai.

Untuk makluman, agihan ini merangkumi sejumlah RM300 juta di bawa Program eBelia. Menerusi perolehan kredit e-tunai ini, belia turut menerima insentif tambahan seperti baucar, pulangan tunai serta mata ganjaran daripada pilihan penyedia perkhidmatan tersebut.

Syarat perolehan kredit e-tunai ini, individu harus berusia 18 tahun dan ke atas. Selain itu, pelajar sepenuh masa peringkat diploma, SKM4 dan IPT tempatan yang berdaftar juga turut layak menerima kredit tersebut.

Bagi makluman lanjut, kredit tersebut hanya dapat dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021 kelak sahaja. Maka kumpulan yang terlibat, diminta untuk menebus kredit tersebut ada 4 aplikasi dompet digital yang digariskan.