Jepun dijangka memerlukan sekitar 10,000 petugas kesihatan sewaktu pengendalian temasya Olimpik Tokyo yang dijadualkan berlangsung pada 23 Julai sehingga 8 Ogos 2021 kelak. Ternyata permintaan itu mengundang kebimbangan dalam kalangan tenaga perubatan Jepun.
Minggu lalu, terdapat permintaan berhubung penempatan 500 tenaga jururawat pada temasya tersebut, ia dilihat sesuatu langkah yang tidak wajar susulan peningkatan kes ketika ini di Jepun. Menurut laporan Associated Press, permintaan itu jelas menimbulkan kemarahan para jururawat kerana ia tidak menitikberatkan krisis kesihatan orang awam malah sekadar membuka ruang risiko kepada semua tenaga kerja yang terlibat.
Susumu Morita – Setiausaha Persatuan Perubatan Persekutuan Jepun menyelar tindakan penganjur bahawa – agak mustahil untuk pihak hospital melepaskan 500 tenaga jururawat hanya untuk pengendalian temasya tersebut.
Apa yang lebih membimbangkan tahap agihan vaksinasi Jepun ketika ini sekadar mencapai 1% hingga 2% sahaja. Ia diperhatikan perlahan untuk sebuah negara maju.
Berdasarkan makluman, para atlet yang telah menjalani ujian saringan COVID-19 tidak perlu melakukan sebarang aktivit kuarantin. Tindakan itu meningkatkan lagi daya kebimbangan tenaga kerja. Malah menerusi pengiraan – The Diplomat sebelum ini, kos rasmi temasya Olimpik Tokyo 2020 telah meningkat 22% iaitu AS$15.4 bilion (RM63.7 bilion) berbanding perbelanjaan asalnya AS$7 bilion kepada AS$12.6 bilion (RM52.1 bilion).
Untuk makluman kurang dari 3 bulan, temasya antarbangsa tersebut akan dibuka dan memperlihatkan kehadiran hampir 15,000 atlet dari 200 negara di seluruh dunia.