Artikel

Kos Sara Hidup KL Sekitar RM3,300 – Jauh Lebih Rendah Berbanding Negara Asia Tenggara Lain

Warga penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini dianggarkan memerlukan sekitar RM3,262 sebulan – untuk menyara kos kehidupan mereka. Lebih menarik, angka tersebut dilihat antara termurah berbanding rakan negara Asia Tenggara yang lain.

Jauh lebih mahal.

Berdasarkan tinjauan iPrice menerusi kumpulan data Numbeo – Bangkok (Thailand) mempunyai anggaran kos sara hidup bulanan sebanyak RM4,387 untuk seorang sahaja. Ini mengambil kira setiap keperluan sewa, makanan, pengangkutan, utiliti, dan pelbagai komitmen lain.

Manila (Filipina) pula dengan anggaran kos bulanan RM4,325 untuk seorang sahaja, yang hanya 1% lebih rendah daripada sebelumnya. Tanpa sewa, jumlah kos sara hidup kota tersebut masih lagi mencapai paras RM2,448 sebulan.

Manakala berhubung catatan anggaran purata gaji bulanan pula – Jabatan Perangkaan (DOSM) pada November 2020 lalu, telah menggariskan purata gaji bulanan di Kuala Lumpur jelas mencatatkan kedudukan tertinggi dengan perolehan purata RM4,359 sebulan.

Namun berbeza dengan perolehan negara jiran yang lain seperti kota Manila sekadar memperolehi purata bulanan RM1,609. Ia dilihat kurang seimbang dengan tekanan kos sara hidup mereka jauh lebih tinggi 33% dari Kuala Lumpur, 28% dari Vietnam dan 24% dari Jakarta.

Tidak hanya itu, ibu kota negara lain turut memaparkan purata gaji bulanan jauh lebih rendah seperti – Bangkok berada di paras RM3,449, Ho Chi Minh (Vietnam) pula RM1,990, Jakarta pula RM1,995.

Untuk makluman, penduduk di negara tersebut perlu memenuhi kos sara hidup yang tinggi dengan gaji rendah. Ini bermakna, penduduk Kuala Lumpur ditakrifkan memiliki kualiti hidup yang lebih baik berbanding negara jiran lain.

Meskipun tinjauan iPrice itu menunjukkan ibu kota negara kita mencatatkan kos sara hidup yang rendah namun sekiranya melihat kepada angka gaji minimum negara, ia masih lagi rendah RM1,200 dan masih terdapat beberapa bahagian ekonomi tidak menjanjikan gaji di paras RM4,000 ke atas.

Untuk sebarang perincian lanjut, para pembaca boleh layari pautan iPrice – KL Residents Need About RM3.3k for Monthly Expenses, Research Says.